Yusri minta KAFA segera sahkan Jackson

 

KUALA LUMPUR 17 Februari – Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah memohon maaf kepada pihak PJ City FC atas kekecohan yang berlaku pada penghujung perlawanan persahabatan pra musim di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Bagaimanapun pengendali Team Red Warriors (TRW) itu tidak menyalahkan barisan pemainnya di atas insiden yang berlaku.

“Saya tidak menyalahkan pemain kerana mereka benar-benar berjuang demi lencana dan negeri dalam perlawanan berintensiti tinggi. Seperti semua pihak tahu, Kelantan mempunyai kumpulan penyokong yang cukup fanatik dan sentiasa mahukan yang terbaik.

“Apa pun saya mohon maaf kepada pihak PJ City FC atas insiden yang berlaku dan berharap barisan pemain Kelantan memperkuatkan mental mereka kerana kita pasti akan berdepan banyak situasi sama, iaitu perlawanan berintensiti tinggi kelak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

Dalam perkembangan lain, Yusri memaklumkan bahawa beliau sedikit gusar dengan kehadiran ramai pemain import ujian pada perlawanan malam tadi kerana mempunyai masa cukup singkat untuk membuat penilaian dan keputusan.

Katanya, hanya tinggal dua minggu sebelum sepak mula Liga Premier dan bagi beliau, tempoh itu tidak mencukupi bagi membuat persediaan untuk kempen Liga Premier Malaysia.

“InsyaAllah kita akan matrikan segera kerana saya hanya ada dua minggu sahaja lagi sebelum sepak mula liga. Bagaimanapun saya amat berpuas hati dengan komitmen pemain tempatan dan ada beberapa pemain import yang berjaya pikat hati saya.

“Berkenaan Christopher Jackson. Saya sendiri tidak sangka aksinya begitu memberangsangkan walaupun baru menempuh 24 jam perjalanan yang pastinya memenatkan. Jadi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu fikir untuk mengesahkan kontrak beliau secepat mungkin untuk pasukan ini,” katanya.

Sumber: Kelantan FA official

 

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close