Yusri Che Lah beri jaminan semua pemain dapat peluang sama rata

Ketua juruhatih Kelantan, Yusri Che Lah telah memberi jaminan bahawa semua pemain di bawah kendaliannya mempunyai peluang sama rata untuk mengisi kesebelasan utama skuad The Red Warriors dalam misi ke Bukit Jalil pada tahun 2020.

Pada masa yang sama, Yusri turut menyifatkan bahawa pemain berstatus bintang tidak akan mendapat tiket percuma untuk beraksi pada hari perlawanan, sebaliknya perlu berusaha lebih kuat untuk merebut tempat.

“Tentu sekali, bagi saya tiada isu pemain senior atau junior. Cuma yang pasti, pemain yang berkeinginan tinggi untuk melonjakkan pasukan ini ke tahap yang lebih baik dalam carta (liga).

“Sebagaimana saya katakan tadi, nama tidak memberi apa-apa gambaran kepada saya. Nama sekadar nama tetapi prestasi semasa yang saya tuntut daripada semua pemain.

“Sudah pasti, tiada istilah ‘bintang’ dalam skuad kerana import dan tempatan akan mendapat layanan yang adil daripada saya,” ujar Yusri seperti yang dilaporkan dalam Stadium Astro.

Setakat ini pasukan TRW tampak bertenaga dalam perlawanan pra musim apabila mereka berjaya menewaskan Kedah 2-1 dan seri menentang TFC dan Nara United dengan keputusan 1-1.

Hari ini Kelantan akan menentang Perlis United di Kota Bharu sebelum memulakan jelajah Lembah Klang pada pertengahan Februari.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close