Siapa jaguh Local Derby ?

Sebutlah Local Derby, Derby Darul Naim, pertembungan abang-adik atau apa-apa sahaja sekali pun, amat menarik untuk melabelkan gelaran seperti ini apabila Kelantan turun menentang Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) pada kempen Liga Premier, malam ini.

Baik penyokong Team Red Warriors mahu pun The Green Deers atau lebih tepat lagi seluruh penyokong Kelantan yang sentiasa melaungkan kata-kata semangat berada di bawah satu warna bendera yang sama, mereka memang nantikan detik ini.

Dan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, menjadi gelanggang keramat yang akan menemukan dua pasukan daripada negeri yang sama, mempunyai visi sama cuma bezanya satu pasukan bertaraf negeri dan satu lagi berstatus kelab.

TRW (bukan lagi The Red Warriors) dijenamakan semula pada tahun ini selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyerahkan hak pengurusan kepada After Image Sdn Bhd manakala KUFC pula diuruskan secara entiti berasingan dengan sokongan kuat kerajaan negeri.

Namun sejak setahun lalu, kedua-dua pasukan ini sebenarnya sering mengelak apabila tidak pernah mengatur perlawanan persahabatan di antara mereka.

Musim lalu, KUFC bermain dalam Liga Amatur M3 dan muncul juara sehingga layak secara merit sementara Kelantan pula beraksi dalam kancah Liga Premier.

Walaupun sebelum ini, ada harapan disuarakan peminat tempatan untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan setempat ini namun ia sekadar cakap-cakap kosong yang berakhir begitu sahaja di laman sosial.

Ia terbawa-bawa ke tahun ini apabila ketika sepanjang persiapan pra musim baru-baru, kedua-dua pasukan itu sekali lagi memang tidak mahu bersemuka di atas padang.

Dengan persiapan Kelantan mengharungi 12 aksi persahabatan termasuk siri jelajah di ibu kota, KUFC pula pada peringkat awal sekadar bertemu pasukan atau kelab amatur atau mungkin lebih tepat lagi separuh amatur.

Agak mengejutkan, selepas itu KUFC boleh pula terbang ke Medan untuk mengharungi dua aksi persahabatan di sana sebelum kembali dengan menghabiskan saki-baki persiapan pra musim dengan latihan harian.

Tetapi malam ini, mungkin selepas 15 bulan menunggu, akhirnya hasrat penyokong Kelantan untuk melihat dua pasukan ini “bersatu” di atas padang akhirnya tercapai.

Ia satu pertemuan yang bakal menyaksikan “perang taktikal” dua jurulatih tempatan, Zahasmi Ismail selaku anak watan membimbing KUFC manakala Yusri Che Lah, pengendali kelahiran Perlis cukup setia bersama Kelantan walaupun dihimpit masalah gaji sejak musim lalu.

Sukar diramal prestasi kedua-dua pasukan ini apatah lagi saingan liga baru sahaja bermula tetapi masing-masing pasti mengimpikan kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Aksi “pertama” bagi Kelantan dan KUFC ini seumpama pertemuan untuk menjaga maruah dan pasukan mana yang meminima kesilapan, pasukan itulah yang akan keluar sebagai pemenang.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close