Shitembi lengkapkan kuota import Sabah

 

Petrus Shitembi melengkapkan kuota terakhir pemain import Sabah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto mengesahkan, pemain tengah skuad kebangsaan Namibia itu telah menandatangani kontrak bersama pasukannya.

Menurutnya, Shitembi mempunyai kualiti beraksi di posisi tengah dan mampu memperkasakan jentera hadapan pasukan.

“Shitembi ini pemain tengah yang dinamik. Dia mempunyai kekuatan kaki kiri dan dikenali seorang pemain tengah yang kreatif di Afrika.

“Apa yang membuatkan saya tertarik adalah dia jenis turun ke bawah membantu barisan pertahanan dan saya memang perlukan pemain yang mampu bertahan dan menyerang dengan baik,” kata jurulatih kelahiran itu dipetik menerusi News Strait Times.

Shitembi sah sarung jersi Sabah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Shitembi yang berusia 27 tahun membuat penampilan sebanyak 67 kali bersama skuad kebangsaan Namibia malah pernah beraksi di Kejohanan Piala Afrika, tahun lalu.

Dengan penyertaan Shitembi, bermakna skuad Tambadau sudah sempurna daripada segi pemain import selepas bulan lalu mereka mengikat Hector Omar Ramos Lebron (Puerto Rico) dan pemain kacukan Jerman-Thailand, Dennis Buschening.

Dua pemain import musim lalu, Park Tae Su (Korea Selatan) dan Rodoljub Paunovic (Serbia) dikekalkan oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close