Perak II muktamadkan pemain import minggu ini

 

Perak II dijangka memuktamadkan senarai pemain import mereka selewat-lewatnya minggu ini ketika saingan Liga Malaysia hanya berbaki tiga minggu sebelum membuka tirainya.

Setakat ini, pendatang baru Liga Perdana itu telah mengikat kontrak penyerang import kelahiran Brazil, Bruno Bezerra dan pertahanan kelahiran Bosnia, Tarik Isic.

Ini bererti pasukan pembangunan itu perlu mengisi dua lagi kekosongan daripada empat kuota pemain import yang diperuntukan kepada pasukan bertanding dalam Liga Perdana itu.

Ketua Jurulatih, Abu Bakar Fadzim berkata, dia akan memuktamadkan senarai rasmi pemain import dalam minggu ini dengan posisi tengah dan serangan menjadi keutamaan pasukannya.

“Setakat ini Bruno (Bezerra) dan Tarik (Isic) dah confirm (sah bersama Perak II), dalam minggu ini saya perlu selesaikannya dua lagi di bahagian midfield dan serangan untuk cukupkan kuota pemain import pasukan ini,” katanya selepas aksi persahabatan bertemu Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Kesebelasan utama Perak II yang diturunkan ketika bertemu dengan Kelantan di Kota Bharu, malam semalam. Pic / Kelantan FA

Pada pertemuan itu, Perak II tewas 0-2 kepada Kelantan menerusi jaringan sepakan penalti Rhulani Manzini pada minit ke-20 dan gol kedua Nik Akif Syahiran Nik Mat, Sembilan minit selepas babak kedua bermula.

Mengulas kekalahan itu, Abu Bakar memberitahu dia tetap berpuas hati dengan persembahan anak didiknya yang rata-rata menampilkan pemain muda dalam pertemuan tersebut.

“Kita tahu Kelantan sebuah pasukan yang baik, kalau tak salah saya mereka telah lalui 10 hingga 11 perlawanan seperti ini untuk persiapkan pasukan. Jurang tidak terlalu jauh cuma dari segi persefahaman saya perlu tingkatkan lagi sebagai cabaran hadapi Liga Perdana.

“Sebelum aksi pertama bertemu KUFC (Kelantan United FC), kita ada dua perlawanan lagi iaitu berdepan Selangor dan satu lagi pasukan. Saya harap kita boleh tengok (peningkatan) daripada satu perlawanan ke satu perlawanan untuk ramal sejauh mana kemampuan Perak II dalam Liga Perdana musim ini,” ujarnya.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close