Pemain TFC menarik minat kelab Indonesia

KUALA TERENGGANU: Kelab Madura United yang beraksi dalam Liga Indonesia tanpa berselindung menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain tempatan skuad Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi cabaran liga negara itu.

Perkara itu didedahkan ketua jurulatih kelab itu, Rahmad Darmawan yang mengakui tertarik dengan aksi lima pemain muda skuad Penyu yang disifatkan mempunyai kualiti selain berpotensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam arena bola sepak.

Bekas jurulatih skuad T-Team pada 2016 dan 2017 itu juga menyifatkan pemain berkenaan adalah antara aset berharga buat pasukan TFC dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini selain pemain lain dalam skuad itu.

Bagaimanapun bekas jurulatih skuad kebangsaan Indonesia itu tidak mahu dilabel sebagai `pengacau’ perancangan pasukan TFC, sebaliknya menyatakan akan mengintai pemain berkenaan pada musim akan datang.

“Buat masa ini saya rasa biarlah pemain berkenaan beraksi bersama pasukan TFC, saya percaya pemain itu mampu mencipta nama bersama pasukan diwakilinya berdasarkan bakat yang mereka ada.

“Tapi jika ada peraturan membolehkan kita mengambil pemain dari negara ASEAN, saya rasa kita tidak ada salah untuk mengambil pemain berkenaan.

“Tapi itu mungkin perancangan akan datang, kita akan lihat macam mana, sama ada bakal mengambil pemain berkenaan atau sebaliknya kerana musim ini kita sudah ada empat pemain import untuk memperkuatkan pasukan bagi memastikan sasaran berada sekurang-kurangnya tiga kelompok teratas liga menjadi kenyataan,” kata Rahmad.

Lima pemain TFC dimaksudkan jurulatih berpengalaman itu adalah bekas anak didiknya ketika membimbing pasukan T-Team iaitu tiga pemain pertahanan, Mohammad Arif Fadzilah Abu Bakar, Mohamad Kamal Azizi Mohd Zabri dan Muhammad Mohd Fauzi selain pemain tengah, Azalinullah Alias dan penjaga gol utama, Muhammad Ilham Amirullah Razali.

Musim lalu, skuad Madura United yang turut diperkuat bekas pemain import FELDA United, Zah Rahan Krangar menghuni di tangga kelima liga daripada 18 pasukan.

“Saya berkeyakinan jika peman TFC mengikut taktikal dan perancangan pengendalinya, Nafuzi Zain, skuad itu mampu menjadi salah sebuah pasukan pencabar terkuat Liga M musim ini,” kata Rahmad.

Sumber:Berita Harian

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close