Menang dengan KUFC, permulaan baik untuk TRW

KOTA BHARU 11 Mac – Kejayaan Kelantan menumbangkan ‘seteru satu naugan’ Kelantan United FC (KUFC) 2-0 pada aksi Liga Primier di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi merupakan permulaan yang baik buat Team Red Warriors (TRW) musim ini.

Pengurus TRW Datuk Wan Rakemi Wan Zahari bagaimanapun mengingatkan barisan pemain Kelantan supaya tidak ‘mabuk’ dengan kemenangan itu.

“Perjalanan masih jauh, selepas ini kita akan bertemu pendahulu Liga Primier Terengganu FC II di tempat lawan.

“Jadi kita perlu terus kekal fokus sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam saingan musim ini,” katanya kepada media rasmi pasukan Kelantan FA.

Pada perlawanan malam tadi, Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-34 menerusi penggempur sensasi Lazarus Kaimbi.

Odili Felix ‘membunuh’ semangat juang KUFC apabila meledakan jaringan kedua pada minit ke-83.

Wan Rakemi turut menghamburkan pujian kepada barisan pemain TRW yang memperagakan daya ketahanan mental tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.

Katanya, berdepan KUFC bukan tugas mudah memandangkan pasukan itu sudah meraih dua kemenangan dalam aksi terdahulu.

“Walaupun kita bermula agak perlahan pada peringkat awal, namun barisan pemain berjaya menyerap tekanan.

“Akhirnya kita berjaya meraih kemenangan. Saya ucapkan terima kasih kepada pemain dan barisan jurulatih atas aksi yang diperagakan.

“Begitu juga dengan perwira 12 yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu setiap kali Kelantan beraksi,” ujarnya.-KELANTAN FA.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close