Memori bola sepak 1990an

Liga Malaysia musim 2020 bakal memulakan saingan tidak lama lagi, bermula dengan perlawanan Sumbangsih antara JDT menentang Kedah di Johor Bahru pada 28 Februari nanti. Sementara kita menunggu saingan liga bermula, apa kata kita throwback kenangan liga, tertutamanya pada tahun 1990an.

Kenapa tahun 1990an dipilih? Tak boleh move on ke?

Sebab utama 1990an dipilih adalah kerana memori yang cukup kuat untuk dikenang. Lagipun, tahun 1990an adalah bermulanya detik professionalisme kancah bola sepak negara dengan pengenalan Liga Perdana pada tahun 1994.

Tambahan pula, molek juga perkenalkan cerita lama kepada orang muda.

Jenama rokok di jersi pasukan

Seperti yang kita semua tahu, liga Malaysia pernah ditaja oleh syarikat rokok Dunhill. Nilai tajaan ini difahamkan sekitar RM33 juta setahun dan nilai ini adalah satu nilai yang cukup besar pada era tersebut.

Jadi, tak hairanlah jika semua jersi pasukan memaparkan logo Dunhill ini.

Era ini juga boleh dikatakan sebagai era emas kerana wang penajaan yang cukup besar. Tambahan pula, gaji para pemain tidaklah melambung tinggi seperti hari ini, namun cukup tinggi untuk menarik bakat-bakat terbaik Asia dan Australia untuk beraksi di sini.

Malah ada seorang penjaga gol menolak lamaran Bayern Munich demi menyarung jersi Pulau Pinang.

Pemain import berkualiti

Oleh kerana duit banyak yang diterima persatuan, maka mereka mampu mengikat pemain import yang cukup bagus. Contohnya Pahang. Mereka berjaya menambat pemain kebangsaan Australia, Alan Davidson untuk beraksi cukup lama bersama mereka.

Ditambah pula dengan kehadiran Abduraimov Azamat dan Igor Shkvyrin yang merupakan tonggak pasukan kebangsaan Uzbekistan dalam memenangi pingat emas bola sepak Sukan Asia Hiroshima 1994.

Abduraimov Azamat. pic/FB

Pasukan lain tidak kurang hebatnya. Perlis berjaya menambat pemain Piala Dunia Cameroon tahun 1990 dan 1994, Emile Mbouh Mbouh.

Dua lagi bintang Australia Abbas Saad dan Alistair Edwards pula pernah menyarung jersi Selangor, Singapura, Johor dan Sarawak, dan mereka adalah pemain kebangsaan Australia.

Emile Mbouh Mbouh. Kena sebut dua kali nama dia. pic/grassroot soccer

Juga ada Tony Cottee, pemain yang dibeli Selangor dari West Ham United dan sempat beraksi sebanyak 24 perlawanan di Malaysia sebelum pulang ke negara asalnya England. Hari ini ada tak pemain West Ham yang sudi dibeli kelab Malaysia? Jangan kata West Ham, pemain Manchester United pun belum tentu sudi bermain di sini.

Tidak lupa juga pemain import lain yang mencipta nama dan menjadi sebutan sehingga ke hari ini seperti Scott Ollerenshaw(Sabah), John Hunter dan David Evans(Sarawak),Olubunmi Adigun dan Peter Nieketien(Kedah). Dimitri Kalkanov dan Marco Kraljevic (Kelantan), serta ramai lagi.

Ada antara mereka yang mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan dek terlalu cinta akan negara ini.

Pemain tempatan mencipta nama

Selain daripada pemain import, bakat tempatan juga tidak kurang hebatnya, Nama-nama seperti Shahrin Majid, Azman Adnan, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Hashim Mustapha, Azizul Abu Hanifah, Matlan Marjan, Radhi Mat Din, Ahmad Sobri Ismail, Ismail Ibrahim, Nassir Yusoff, Azizul dan Azhar Kamaluddin, Jalil Rambli dan ramai lagi lah.

Mereka dikenang dengan bakat dan jasa masing-masing.

Hashim, Azman dan Matlan memang dikenali sebagai penyerang yang paling tajam di Malaysia. Shahrin Majid pula digelar lipas kudung.

Jalil Rambli? Kekuatan lantaran ke dalamnya yang cukup digeruni dan terkenal di Malaysia, sebelum adanya Jurad Chamrong.

Ismail Ibrahim dan Radhi Mat Din adalah dua kapten yang cukup berpengaruh, manakala Ahmad Sobri dan Khairul Azman merupakan penjaga gawang yang tiada tandingan.

Pemain berbaju tuck-in

Dulu, lama dulu, pemain wajib memasukkan baju ke dalam seluar ketika beraksi di padang, atau dalam bahasa mudahnya; tuck-in. Jika pemain tak tuck-in, pengadil akan menyuruh para pemain tuck-in barulah perlawanan diteruskan.

Hal ini kerana FIFA mahu setiap pemain yang tampil di atas padang berpenampilan kemas. Maka sebab itulah pemain perlu tuck-in. Syarat ini tidak lagi diguna pakai hari ini.

pic/catatan

Hari ini tidak ramai pemain yang meneruskan tradisi ini dan yang menyerlah dengan gaya ini ada dua pemain sahaja iaitu K.Reuben dan Lee Tuck.

Bila tengok balik gaya orang lama, agak lucu juga. Baju besar tuck-in, seluar pun agak besar.

Liga 14 pasukan

Liga Malaysia sekarang terbahagi kepada 3 divisyen utama; Super, Perdana dan M3, dan disertai oleh pasukan yang mewakili negeri dan juga kelab-kelab setempat dan syarikat.

Kalau dulu, yang ada hanya liga Perdana dan Piala FAM. Liga Perdana disertai 14 negeri termasuk Singapura dan Brunei berformatkan double round robin tanpa turun naikliga, manakala Piala FAM disertai kelab-kelab kecil.

Menuju ke penghujung tahun, 10 pasukan terbaik dalam Liga Perdana akan layak ke Piala Malaysia dan dibahagikan kepada 2 kumpulan 5 pasukan.

Para era ini stadium juga sentiasa dipenuhi walaupun pasukan tersebut tidak berapa cemerlang di dalam liga. Yang hebatnya, pasukan Kuala Lumpur mampu menarik penonton ke Stadium Merdeka untuk menonton aksi mereka, dan ini cukup berbeza pada hari ini di mana pasukan ibu kota ini sering beraksi dalam stadium yang kosong.

Maskot pasukan

Setiap pasukan yang bertanding dalam liga pada waktu itu diwajibkan mempunyai maskot. Berikut adalah senarai maskot yang mampu penulis ingat.

Perlis – Singa
Kedah – Kenari
Pulau Pinang – Harimau Kumbang
Perak – Seladang
Kelantan – Kijang
Terengganu – Penyu
Pahang – Gajah
Selangor – Gergasi Merah
Kuala Lumpur – Helang
Negeri Sembilan – Rusa
Melaka – Pelanduk
Johor – Jengking
Sarawak – Bujang Senang
Sabah – Badak Sumbu
Singapura – Singa

Tak pasti apa maskot Brunei ketika itu. Kebanyakan maskot ini telah dijenamakan semula oleh pasukan masing-masing.

Antaranya Kedah menggunakan maskot Lang Merah, Kelantan menukar gelaran kepada The Red Warriors memandangkan rakyat negeri tersebut rata-rata bercakap bahasa Inggeris dalam urusan seharian, Perak menukar Seladang kepada Boss Gaurus, Johor pula Harimau Selatan dan Sabah Tembadau.

Arena Sukan Radio 1

Zaman dulu hanya ada satu perlawanan siaran langsung setiap minggu, dan pernah juga tiada langsung. Perlawanan yang tiada siaran langsung amat sukar untuk diketahui keputusannya, tambahan pula zaman tu tiada internet untuk meninjau keputusan di laman web bookie.

Jadi, pukul 10 malam peminat akan membuka siaran Radio 1 segmen Arena Sukan di mana DJ akan menghubungi wakil RTM di setiap stadium untuk mengetahui keputusan semasa.

Pukul 10 malam ni selalunya perlawanan belum tamat, kecuali di Sabah dan Sarawak, maka seringkali pendengar mengalami kesukaran untuk mendegar dengan jelas apa yang wartawan RTM cakapkan kerana ditenggelami sorakan penyokong yang bergema terutamanya ketika pasukan tuan rumah menjaringkan gol.

Kesimpulan

Sebenarnya ada banyak lagi kenangan yang tidak dapat dilupakan daripada kemeriahan bola sepak tahun 1990an ini seperti pengulas sukan yang unik seperti Hasbullah Awang, Abdullah Hashim, Datuk Rahim Razali, Amin  Mahir, Jamaluddin Alias dan Sherkawi Jirim.

Juga kenangan Piala Tiger buat julung kalinya di Singapura di mana Malaysia muncul naib juara di belakang Thailand, dan K.Sanbagamaran muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Tidak lupa juga kenangan pahit skandal rasuah dan mengatur perlawanan yang melumpuhkan terus bola sepak Malaysia. Sedihnya, skandal mengatur perlawanan ini masih lagi berleluasa sehingga hari ini namun tidak berani disebarkan kerana faktor keselamatan.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close