Kenali Guti, pemain tengah kreatif yang dipandang sepi

Nama Jose Maria Gutierrez, atau lebih mesra dengan panggilan Guti, mungkin tidak diangkat sebagai pemain sehebat Zinedine Zidane, Ronaldo, Figo atau Shukor Adan, tetapi bagi peminat bola sepak sekitar hujung 1990-an dan awal 2000, Guti boleh dianggap antara pemain tengah terbaik dunia.

Guti kini menjadi pengurus kelab La Liga, Almeria, selepas menggantung but pada tahun 2011, usai tamat musim Liga Turki di mana dia bermain buat kelab Besiktas.

Bagi yang tak tahu, Guti sebenarnya hampir menjadi one club man di mana dia berkhidmat untuk kelab gergasi La Liga, Real Madrid sejak dari usia 180 tahun pada 1986, sehingga tahun 2010.

Latar belakang

Lahir di Madrid, Guti mula menyertai akademi Real Madrid ketika berusia 10 tahun pada tahun 1986. Kemudian pada tahun 1994, Guti dinaikkan ke skuad C Real Madrid, sebelum naik ke skuad B setahun kemudian.

Oleh kerana kebolehannya yang sungguh mengagumkan, Guti diserap ke skuad utama pada tahun yang sama dan dia kekal sehingga 2010.

Debut Guti bersama skuad utama Real Madrid adalah pada 2 Disember 1995, dalam kemenangan 4-1 ke atas Sevilla FC.

Posisi

Guti banyak bermain di posisi serangan, sebagai penyerang dan juga pemain tengah menyerang. Tetapi sebahagian besar kariernya adalah bermain sebagai tonggak kreatif di bahagian enjin pasukan.

Kekuatan utama Guti adalah kemampuan visinya yang cukup tinggi, teknik yang cukup bagus, kreatif, mampu menghantar bola jauh dan dekat dengan tepat dan paling penting, dia tidak pentingkan diri sendiri dan sering melakukan assist buat rakan sepasukan.

Saksikan sendiri kehebatan Guti dalam video di bawah.

Selain dua posisi itu, Guti juga turut diturunkan di posisi pemain sayap, pemain tengah bertahan dan juga perancang dari bawah (deep lying playmaker).

Era Galacticos

Seperti yang kita tahu, Real Madrid adalah pasukan yang mengumpulkan para pemain terbaik dunia, terutamanya ketika di bawah pimpinan ahli politik dan perniagaan, Florentino Perez.

Selepas memenangi pilihanraya kelab pada tahun 2000, Perez melaksanakan gagasan Galactico di mana dia membawa masuk pemain terbaik dunia bermula dengan Luis Figo. Kemudian bintang Juventus, Zinedine Zidane pula mengikut jejak langkah bintang Portugal itu pada tahun 2001.

Ronaldo pula sertai Real Madrid pada tahun 2002, David Beckham pada tahun 2003, Michael Owen pada 2004 dan Robinho pada tahun 2005.

Pemain Real Madrid era Galacticos. pic/pinterest

Ditambah dengan pemain sedia ada seperti Raul Gonzalez, Roberto Carlos, Ivan Helguera, Michel Salgado dan ramai lagi menjadikan Real Madrid sebagai pasukan yang sangat ditakuti di peringkat domestik dan juga Eropah.

Apabila ramai pemain bintang yang baru menyertai pasukan, beberapa pemain akan kehilangan tempat dan terpaksa berhijrah seperti Fernando Morientes dan Claude Makalele, tetapi tidak bagi Guti.

Datanglah bintang berkelip macam mana pun, Guti tetap mendapat tempat dalam kesebelasan Real Madrid dan dia telah membentuk gandingan mantap bersama Zidane di bahagian tengah pasukan sekaligus membantu Ronaldo, FIgo dan Raul untuk menjaringkan gol.

Statistik karier

Secara keseluruhannya, Guti telah membuat 542 penampilan buat Real Madrid, bersamaan dengan 32,479 minit permainan. Dia juga telah menjaringkan 77 gol dan melakukan 90 bantuan gol.

Dari segi disiplin, Guti boleh dikatakan pemain yang kurang berhati-hati di atas padang di mana dia telah diperintahkan keluar padang sebanyak 10 kali sepanjang karier, 4 dariapadanya adalah kad merah secara terus.

Bersama skuad kebangsaan Sepanyol pula, Guti sekadar melakukan 14 penampilan dan 3 jaringan gol. Ini kerana jurulatih Sepanyol lebih percayakan trio Valencia – David Albelda, Ruben Baraja dan Vicente di bahagian tengah.

Selepas ketiadaan ketiga-tiga pemain itu, Guti tenggelam pula di belakang Xavi Hernandez, Xabi Alonso dan juga pemain muda Andres Iniesta dan Cesc Fabregas.

Pasca persaraan

Selepas bersara, Guti menjadi jurulatih skuad muda Real Madrid dari tahun 2013 sehingga 2018, sebelum terbang ke Turki menjadi pembantu jurulatih Besiktas pada musim 2018-19.

Bermula musim 2019-2020, Guti buat pertama kalinya menjadi ketua jurulatih selepas diberi kepercayaan oleh kelab dari Andalusia, Almeria yang beraksi di liga divisyen 2 Sepanyol, Liga Segunda.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close