Karier bolasepak Prince Tagoe yang meragukan dan menyedihkan

Peminat Kelantan, selepas kehilangan Dickson Nwakaeme amat menantikan seorang pengganti yang sebebat pemain Nigeria itu. Dengan tawaran gaji yang lebih lumayan, Nwakaeme akhirnya memilih Pahang selepas hanya semusim membuat penampilan yang sangat diingati.

Mohamad Ghaddar dipanggil semula, tetapi hanya bermain separuh musim sahaja. Beliau diberitakan tidak gembira bersama Kelantan pada tahun berkenaan.

Presiden Kafa pada masa itu, Tan Sri Annuar Musa akhirnya memilih seorang pemain yang berlabel pemain Piala Dunia yang diberi nama Prince Tagoe dari Ghana. Tagoe menganggotai pasukan Black Stars pada Piala Dunia 2010. Keseluruhan penampilan beliau bersama Ghana ialah 36 kali dengan 7 gol.

 

Kehadiran beliau ke Kota Bharu disambut dengan penuh kelegaan walau sedikit ragu dek kerana Kelantan sudah mula menginginkan kehadiran pemain import berposisi penyerang yang sensasi dan sangat membantu pasukan sebanding Mohamad Ghaddar dan Dickson masing-masing pada tahun 2012 dan 2013.

Pada April 2014, Tagoe mengikat kontrak dengan Kelantan disaksikan jurulatih George Boateng.

Keterujaan peminat terbantut apabila beliau tidak dapat diturunkan dalam beberapa perlawanan awal. Mula timbul desas desus mengatakan Tagoe bermasalah dalam kecergasan.

Bukan masalah itu sahaja, Tagoe mendakwa telah mengalami masalah kontrak dengan kelab terdahulu di Tunisia iaitu gaji yang tidak dibayar selama tiga bulan namun Tagoe dikatakan telah melanggar terma kontrak lantas gaji digantung sementara.

Akhirnya Kelantan menjadi mangsa kerana Fifa enggan mengeluarkan ITC atau sijil perpindahan yang membolehkan pemain beraksi dengan kebenaran dan pengiktirafan Fifa.

Menurut laporan akhbar, Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya telah memohon ITC bagi memastikan pendaftaran Tagoe semasa jendela perpindahan kedua berjalan dengan lancar. “Kami berdepan masalah dengan bekas kelab Tagoe, di mana mereka tidak membayar tiga bulan gaji kepadanya dan sepatutnya kontraknya terbatal serta-merta.

“Disebabkan FTF masih menangguhkan pengeluaran ITC, bila kami mendaftar menerusi Sistem Pengurusan Perpindahan (TMS) kena selari dengan Tunisia, namun Tunisia tidak menjawab. “Pada hari terakhir, mereka (Tunisia) memberi jawapan bahawa mereka menolak permohonan kami kerana pemain itu masih mempunyai kontrak dengan kelab.

“Apabila perkara ini berlaku, iaitu pemain ada masalah dengan kelab, Fifa ada kuasa untuk mengeluarkan ITC sementara, kerana Fifa pastinya tidak mahu karier pemain terjejas,” katanya. “Kevin berkata, pihaknya menjangkakan akan mendapat ITC sementara sebaik permohonan itu ditolak FTF, tapi sebaliknya mereka difahamkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima penolakan tersebut.

“Mereka (FAM) sepatutnya membiarkan kes itu ditangguhkan, tapi apa yang FAM buat adalah menerima penolakan itu, jadi kes itu sudah dikeluarkan daripada TMS. “Apabila kes itu dikeluarkan, Fifa memberitahu kami bahawa mereka tidak boleh mengeluarkan ITC kerana kes sudah ditutup,” katanya.

Masalah lain pula timbul apabila Tagoe ponteng latihan dan pulang ke Ghana tanpa kebenaran pengurusan. Beliau dilaporkan 2 kali gagal dalam ujian kecergasan. Jurulatih George Boateng juga jelas mendedahkan isu ini di media.

Ianya menimbulkan tanggapan bahawa Tagoe sememangnya tidak mampu atau tidak larat untuk bermain bolasepak.

Akhirnya TSAM mengeluarkan kenyataan bahawa Tagoe meminta supaya kontraknya ditamatkan. Tagoe sempat bermain 3 perlawanan untuk Kelantan.

Tagoe hampir tidak langsung bermain bolasepak sepanjang 2015-2019. Beliau ada menandatangani kontrak singkat dengan sebuah 2 kelab liga bawahan Turki dan hanya membuat satu penampilan.

Pada 2016 beliau menafikan sudah bersara. Selepas hampir tiada kelab selama bertahun-tahun, sebuah kelab di Bangladesh, Chattogram Abahani mengintai peluang mendapatkan Tagoe sebagai pemain dalam Kejohanan Piala Antarabangsa Sheikh Kamal 2019.

Kelab itu mencanangkan bahawa seorang bekas Piala Dunia bakal dibawa masuk semata-mata untuk merebut juara kejohanan berkenaan.

Tagoe hadir ke kelab itu hanya 2 hari sebelum kejohanan. Kehadiran beliau mengejutkan jurulatih, Maruful Haque. Tagoe didapati tidak cergas untuk bermain dalam perlawanan bolasepak walaupun hanya seketika. Pengurusan kelab ternyata amat kecewa dan mula timbul dakwaan bahawa Tagoe dipanggil menyertai pasukan atas pengaruh dan kehendak salah seorang pegawai pasukan.

Kehadiran Tagoe sememangnya mendapat tentangan beberapa pemain lain kelab itu. Kemunculan lewat, hanya 2 hari sebelum pertandingan bermula menyebabkan kelab itu terpaksa juga menyenaraikan Tagoe sebagai salah seorang daripada 6 pemain asing.

“Mana-mana pemain Afrika lain yng disenaraikan ternyata lebih baik daripada dia. Kerana dia seorang, kita kerugian satu kuota pemain asing,” ujar salah seorang pemain kelab berkenaan.

Tagoe tidak langsung bermain untuk Chattogram Abahani walau seminit pun. Apa yang menarik, kelab ini berjaya ke final walau Tagoe tidak diturunkan.

Kejohanan Antarabangsa Sheikh Kamal 2019 akhirnya dimenangi oleh kelab Malaysia, TFC menewaskan Chattogram Abahani. Lee Tuck dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Selepas 4 bulan berlalu ketika artikel ini ditulis, kelibat Tagoe tidak dapat dikesan. Pada umur 34 tahun, jelas Tagoe mungkin tidak lagi akan mampu bermain bolasepak.

Apakah yang berlaku sebenarnya?

Apakah benar Tagoe mempunyai masalah kesihatan serius? Tidak juga, kerana beliau agak cemerlang di Piala Dunia. Beliau juga pernah mewakili 1899 Hoffenheim, Al Shabab dan Bursaspor.

Jika diamati dengan teliti, Tagoe tidak banyak membuat penampilan untuk kelab-kelab yang pernah beliau wakili. Ini kembali membuka teori bahawa Tagoe sememangnya ada sedikit masalah kesihatan.

Beliau juga pernah berhadapan hukuman penarikan balik kebenaran untuk bermain di Bundesliga kerana isu pemalsuan sjil kesihatan.

Simpati juga dengan perjalanan Prince Tagoe, bekas pemain bintang skuad Piala Dunia Ghana dan bersinar terang di awal karier dalam Ghana Premier League dengan mendapat gelaran penjaring terbanyak.

Beliau mungkin cuba menyembunyikan masalah kesihatan demi minat terhadap bolasepak yang amat mendalam. Apakah beliau juga mempunyai attitude buruk atau masalah disiplin yang teruk?

Hanya Prince Tagoe yang mampu merungkai apa masalah sebenar yang berlaku.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close