Jackson, Watanabe isi kuota import, peminat tak sabar nak beli jersi

Bukan hanya jersi, penyokong Kelantan juga tunggu quadro import baru

Selain rekabentuk jersi yang sentiasa ditunggu-tunggu, ada satu perkara penting yang menjadi tumpuan penyokong Team Red Warriors (TRW) setiap kali tibanya musim baru.

Dengan majlis pelancaran jersi TRW 2020 dikhabarkan gilang-gemilang bakal berlangsung di Kota Bharu, petang esok, aturcara memperkenalkan barisan pemain pasukan itu sebenarnya lebih mencuri tumpuan.

Memang keterujaan penyokong Kelantan terhadap jersi keluaran baru tidak dapat disangkal tetapi kali ini mereka harus bersetuju betapa item itu mungkin jatuh nombor kedua sekarang.

Apa tidaknya ? Dengan sepak mula Liga Premier berbaki 8 hari lagi, Kelantan dilihat terkial-kial untuk menamakan empat pemain asing yang akan menyarungi jersi pasukan itu.

Dan sekarang penyokong mereka kini menanti penuh sabar siapa yang bakal memenuhi kuota pemain import pasukan itu.

Selepas mengharungi 12 perlawanan persahabatan sepanjang pra musim, Kelantan masih gagal mengumumkan secara rasmi pemain import dan esok adalah masa paling sesuai untuk mereka berbuat demikian.

Setakat ini, skuad pantai timur itu telah dan sedang menguji 11 pemain import, sejak Disember tahun lalu.

Bermula Bektur Talgat Uulu dari Republik Kyrgyzstan yang berada begitu lama di Kota Bharu tetapi nasib dia tidak baik apabila pulang begitu sahaja.

Pada masa sama datang pula, Messi India atau Ansumana Agogo Kromah, dari Liberia yang sebelum ini melebarkan karier di Liga India.

Walaupun bertubuh kecil tapi penyerang berusia 28 tahun ini sedikit menonjol dengan keupayaan dribble tetapi entah dimana silapnya pengurusan tidak berminat mengambil pemain tersebut.

Sepanjang Januari, datang pula segerombolan pemain import daripada pelbagai latar belakang negara seperti Korea Selatan, Afrika Selatan, Nigeria dan Liberia.

Dua penyerang, Felix Chidi Odili (Nigeria) dan Rhulani Manzini (Afrika Selatan) dan bek tengah Varney Kallon Kiatamba Jr (Liberia) dipertaruhkan ketika Kelantan mengejutkan Kedah 2-1 di Kota Bharu.

Yusri perlu memuktamadkan segera senarai pemain import ketika sepak mula Liga Premier berbaki lapan hari. Foto : Kelantan FA

Manakala pemain tengah, Kang Seung-jo dari Korea seperti diketahui sudah dua tahun bersama Pulau Pinang hadir penghujung Januari.

Watanabe (belakang) menonjol dalam dua perlawanan di ibu negara. Foto : Kelantan FA

Walaupun pasukan itu mencatatkan cleansheet apabila tidak pernah tewas sehingga aksi kesembilan namun jurulatih Yusri Che Lah masih gagal menamakan pemain import berkualiti pasukannya.

Ada sedikit kelegaan bila penyerang tinggi lampai, Christopher Jackson (Liberia) mula mempamerkan kemahiran individu walaupun hanya beraksi selama 30 minit ketika Kelantan tumpas 0-2 kepada Selangor, 12 Februari.

Episod dimana Yusri, jurulatih berasal dari Perlis mula pening kepala akhirnya menjelma ketika Kelantan melakukan siri jelajah pra musim di Lembah Klang, pada 14 hingga 16 Februari lalu.

Gnabouyou gagal menyerlah dalam dua aksi persahabatan di Kuala Lumpur. Foto : Kelantan FA

Di sinilah muncul kelibat beberapa pemain import baharu iaitu Guy Gnabouyou (Perancis), Ignat Dan Gelu (Romania), Masaki Watanabe (Jepun), Igor Cerina (Croatia) yang diuji dalam dua aksi persahabatan menentang PDRM dan PJ City FC.

Persembahan Watanabe, bekas pemain import Felda United FC dikatakan paling menonjol dalam siri jelajah itu sementara Jackson juga menunjukkan kedatangannya tampak berbaloi apabila mendapat pujian penyokong Merah Putih itu.

Mungkinkah Odili (kiri), Watanabe, Jackson dan Seung-jo menjadi quadro import baru Kelantan ?. Foto : Kelantan FA

Sekarang, penyokong Kelantan boleh lihat kelibat Jackson, Seung-jo, Watanabe dan Odili berada di Kota Bharu.

Adakan quadro ini bakal menjadi pemain import Kelantan ? Esok pasti ada jawapannya…Tunggu sahaja penyokong Kelantan !

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close