Empat Persatuan Bola Sepak kena selesai tunggakan gaji

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-13 bagi penggal 2017-2021, Selasa lalu mencapai keputusan terhadap 10 kes melibatkan empat persatuan bola sepak di bawah ahli gabungan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub menerusi satu kenyataan media semalam memaklumkan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu membayar tunggakan gaji sebanyak RM167,304 kepada bekas pemain pasukan itu, Amiridzwan Taj Tajuddin.

KAFA juga dikehendaki melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM11,166 tertakluk kepada potongan wajib pendapatan berdasarkan tuntutan yang dikemukakan bekas pegawai pasukan, Mohd Hisham Jainudin.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada tiga bekas pegawai pasukan iaitu Liew Kit Kong (RM26,000), jurulatih, E. Elavarasan (RM60,000) beserta pembayaran penuh cukai pendapatan dan penolong jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail (RM43,000).

Turut mengalami nasib sama Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang berdepan tuntutan pembayaran tunggakan gaji dan pampasan kontrak membabitkan empat bekas pegawai pasukannya.

Mereka terdiri daripada Mohd Faizal Mohd Esahar (RM24,000 tunggakan gaji dan RM120,000 pampasan baki kontrak) serta Mohd Hisham Jainudin (RM21,000 tunggakan gaji dan RM55,741.95 pampasan baki kontrak).

PFA juga diarahkan menyelesaikan tunggakan gaji Ahmad Nizan Ariffin sebanyak RM21,000 tunggakan gaji dan RM154,000 (pampasan baki kontrak) dan Kamal Daut (RM18,000 tunggakan gaji dan RM132,000 pampasan baki kontrak).

Sementara itu, dalam satu kes berasingan FAM telah menolak tuntutan ejen pemain, B Gobala Krishnan terhadap Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berhubung yuran agensi.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close