Bekas kapten Liverpool sarankan Safawi Rasid bermain di Eropah

Kehebatan Safawi Rasid bukan sahaja mampu membuatkan peminat bola sepak Malaysia dan Syifa Melvin sahaja yang terpegun, malah bekas kapten pasukan yang akan menjuarai EPL tahun ini, Liverpool, iaitu Jamie Redknapp juga turut terpesona dengan aksi pemain kelahiran Dungun itu.

Lagenda Anfield yang telah membuat 237 penampilan bersama kelab tersebut berkata, kekuatan kaki kiri Safawi cukup berbisa dan secara keseluruhannya dia berpotensi untuk bermain di pentas Eropah.

Jamie Redknapp, anak kepada Harry bekas pengurus Spurs. pic/foottheball

“Sebelum saya datang ke Malaysia untuk menjadi tetamu dalam pelancaran Cadbury FC ini, anak saya membuka Youtube dan aksi pemain nombor 11 (Safawi) memikat hati saya,” ujar Jamie yang berada di Malaysia sempena pelancaran Cadburry FC, seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Menurut Jamie lagi, keberanian Safawi untuk menggelecek pihak lawan di samping mempunyai teknik sepakan percuma yang baik membuatkannya sebagai satu-satuya pemain Malaysia yang mendapat perhatiannya.

“Dia berani mengelecek dan mempunyai sepakan percuma kaki kiri yang berkualiti dan terus terang, dia seorang pemain yang memikat mata saya mengenai pemain dari Malaysia.

“Saya rasa dia perlukan sedikit tuah seperti Minamino yang ke Liverpool. Dia juga perlu berani selain berusaha keras dan agresif dengan melihat lebih banyak perlawanan liga luar seperti EPL (Liga Perdana Inggeris).

“Apapun, dia ada kelebihan unik kaki kiri seperti mana Mohamed Salah. Kuncinya berani mencabar diri ke luar negara kerana dia masih muda dan bertenaga,” tambah Jamie lagi.

Pada pertengahan musim 2019, terdapat ura-ura bahawa ada kelab Jepun dan Korea Selatan berminat untuk mendapatkan khidmat Safawi namun setakat ini Safawi masih lagi pemain JDT.

Mungkin tahun depan Safawi boleh mula melebarkan sayapnya ke liga sekitar Asia yang mendapat perhatian pasukan Eropah seperti liga Thailand dan Jepun sebagai batu loncatan kariernya ke Eropah.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close