Apa status Jackson? Kiambi import bidang terjun?

Christopher Jackson menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong Kelantan menjelang pertembungan pasukan itu menentang Kuala Lumpur pada aksi sulung Liga Premier di Kota Bharu, malam esok.

Penyerang import Liberia itu dikhabarkan sekadar menjalani latihan ringan ditepi padang dengan statusnya kini mula menjadi tanda tanya bagi penyokong Team Red Warriors itu.

Satu sumber mendedahkan pemain berumur 24 tahun itu dibelenggu masalah kecederaan lama memaksa dia menjalani ujian MRI, baru-baru ini.

Malah lebih mengejutkan lagi, Jackson dikatakan masih terikat kontrak bersama kelab lamanya, LISCR FC di negaranya.

Ia sekali gus menyaksikan Jackson telah melakukan kesilapan apabila memiliki dua kontrak dengan dua pasukan berbeza dalam satu masa.

Gara-gara kesilapan agen pemain itu yang tidak memeriksa status Jackson, kelab berkenaan telah menuntut pampasan selain enggan mengeluarkan sijil perpindahan antarabangsa pemain itu.

Apa yang berlaku di kem Kelantan diperkukuhkan dengan kemungkinan besar tempat Jackson digantikan dengan kehadiran penyerang import bidang terjun, Lazarus Kiambi dari Namibia di Kota Bharu, ketika ini.

Penyerang berusia 32 tahun itu pernah menyarung jersi Kelantan pada pertengahan musim 2018 tapi hanya sempat beraksi dua perlawanan sebelum ditamatkan kontrak akibat kecederaan jangka panjang.

Musim lalu, dia sekali lagi kembali mewarnai kancah Liga Malaysia dengan menyertai Pahang juga pada pertengahan musim tetapi kontraknya tidak dilanjutkan tahun ini.

Setakat ini, Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd selaku syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pasukan Kelantan dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi mengenai kedudukan Jackson.

Penyokong pasti tertanya-tanya, siapa yang akan menjadi mesin gol pasukan selepas ini. Mereka jelas tidak gembira dengan kesilapan dilakukan TRW Sdn Bhd-KAFA ini.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close