Andrew Nabbout: Disingkir daripada liga divisyen 2 Malaysia, lantas main Piala Dunia

Cemerlang tapi disingkir

“Pada satu hari di padang latihan, mereka datang memberitahu kami bahawa kami tidak diperlukan lagi. Saya terkejut memandang jurulatih, Gary Phillips dan berkata, adakah kamu bergurau? Saya dapat memahami bahawa bukan beliau yang membuat keputusan.”

“Ternyata saya sebenarnya sangat bekerja keras. Peminat juga sudah mula suka terhadap kami, begitu juga dengan pemain-pemain tempatan. Saya tidak mampu berbuat apa-apa. Malah mereka juga cuba untuk memperdaya saya dalam kontrak namun saya kekal dengan pendirian saya dan akhirnya saya dapat pampasan saya.”

Saya pada ketika itu menjaringkan 9 gol daripada 12 perlawanan dan yang melucukan saya kekal selaku penjaring terbanyak kelab itu sehingga tamat musim walaupun penyerang baru disenaraikan.”

“Sejak daripada itu, saya tetap dengan pendirian saya bahawa mereka memang patut menyesal menyingkirkan saya. Saya juga belajar sesuatu di Malaysia. Di sana politik adalah lebih penting daripada prestasi di dalam perlawanan. Saya juga menyedari bahawa saya disingkirkan hanya kerana ego seorang presiden kelab yang hanya ingin menunjukkan kuasa sahaja.”

Itulah apa yang diceritakan oleh Andrew Nabbout. Pemain Australia yang berketurunan Lebanon yang 2 tahun selepas itu berjaya mewakili Australia dalam Piala Dunia 2018. Lima tahun sebelum itu, beliau dilamar oleh jurulatih Lebanon untuk mewakili negara itu namun menolaknya dengan harapan mampu mewakili Australia untuk Piala Dunia 2014.

Melbourne Victory

Pada tahun 2013 juga Nabbout mewakili Melbourne Victory pada usia yang muda dan bertenaga iaitu 21 tahun. Umur yang sesuai untuk membina karier bolasepak dan tidak salah untuk bercita-cita mewakili Australia pada waktu itu. Nabbout tidak pernah menjadi anggota skuad Socceroos dalam sebarang peringkat umur. Beliau mengembangkan karier di kelab-kelab bawahan.

Sebenarnya kisah duka hingga membawa kepada masalah depresi bermula apabila Nabbout tersingkir daripada Melbourne Victory yang mula membawa masuk pemain-pemain baru untuk menguatkan pasukan. Nabbout sangat marah dan kecewa apabila beliau tidak disenaraikan.

Nabbout dilanda depresi sehingga terpaksa menjalani sesi rawatan. Bagi beliau, isterinya Sam yang sangat setia dibelakang beliau. Isterinya lah yang menjadi pendorong dan penguat semangat pada ketika itu.

Negeri Sembilan

Nabbout cemerlang bersama Negeri Sembilan. Foto: gawang.my

Nabbout tidak mempunyai kelab selama 6 bulan. Beliau juga menghadiri trial dengan Central Coast Mariners tetapi gagal. Pada awal 2016, Nabbout akhirnya dilamar Negeri Sembilan dan disitulah beliau dan Joel Chianese menjadi mangsa kepada yang disifatkan oleh sebagai permainan politik. Nabbout dan Chianese disenaraikan sejak Januari 2016 dan disingkirkan pada April pada tahun yang sama.

Newcastle Jets

Beliau pulang semula ke Australia dan 3 bulan selepas itu Nabbout menarik nafas lega apabila kariernya seakan diselamatkan oleh Newcastle Jets. Chianese pula mendapat tempat di dalam kelab Perth Glory sebulan kemudian. Nabbout menyambung kontrak selama dua tahun lagi untuk 2019-2020 kerana berjaya memikat hati jurulatih Newcastle Jets ketika itu, Ernie Merrick.

Pada Januari 2017, beliau mendapat anugerah pemain bulanan terbaik. Nabbout memenangi Jets Golden Boots dan Goal of the Year hasil daripada aksi gigih pada tahun 2016 hingga 2018. Malah pada awal 2018, sebuah kelab UAE, Al-Dhafra merisik Nabbout namun Newcastle Jets menolak kerana gagal mencapai kata putus berkait dengan yuran perpindahan. Nabbout menjaringkan 18 gol sepanjang bersama Newcastle Jets dalam 46 perlawanan.

Sekitar Mac 2018, Nabbout mengorak langkah menyertai kelab elit Liga J, Urawa Red Diamonds dengan yuran perpindahan sekitar US$500,000. Pada umur 25 tahun ketika itu, perpindahan ke Liga J merupakan satu tawaran yang tidak mampu ditolak lagi.

Socceroos

Pada Mac tahun itu juga, Nabbout disenaraikan di dalam skuad Piala Dunia mewakili Socceroos. Debut pertama beliau ialah semasa menentang Norway pada bulan yang sama. Lebanon beberapa kali menghubungi Nabbout unutuk disenaraikan sebagai pemain di negara asal keluarganya namun buat kesekian kalinya, permintaan itu ditolak. Tindakan itu difahami kerana Nabbout dilahirkan di Australia dan peluang bermain di Piala Dunia amat cerah sekali berbanding di Lebanon. Nabbout juga mendedahkan dalam satu temubual bahawa Lebanon menghubungi semenjak beliau berumur 19 tahun lagi.

Beliau bermain menentang Perancis sehingga minit ke 64. Namun Nabbout hanya sempat bermain hanya dua perlawanan untuk kempen Piala Dunia 2018 selepas mengalami kecederaan bahu.

Nabbout mewakili Australia di Piala Dunia 2018. Foto: theafc.com

Kerjaya Nabbout di Urawa Red Diamonds tidak berjalan lancar. Prestasi Beliau agak ketinggalan tambahan pula mengalami sedikit kecederaan. Sepanjang 2018, Nabbout hanya menjaringkan 1 gol dalam 16 perlawanan.

Selepas 2 tahun, Nabbout akhirnya kembali ke A-League dan menyertai Melbourne Victory pada Julai 2019, kelab yang membuatkannya depresi 4 tahun sebelum itu.

Kembali ke Melbourne

Di mana Nabbout sekarang? Nabbout sudah menjadi tenaga yang penting pasukan. Melbourne Victory beraksi dalam Asia Champions League 2020. Ketika artikel ini ditulis, pasukan ini sudah mengharungi 2 perlawanan peringkat kumpulan.

Apa sumbangan Nabbout? Beliau telah menjaringkan gol tunggal perlawanan pusingan ke lapan, pusingan terakhir yang menentukan pasukan-pasukan yang bakal mengisi 8 slot ke peringkat kumpulan.

Perlawanan tandang berkenaan ialah menentang Kashima Antlers di Kashima, Jepun, Nabbout telah menjaringkan gol yang amat penting dan yang menarik beliau melakukannya di Jepun.

Nabbout kelihatan kembali berada dalam landasan prestasi yang baik pada ketika ini. Kenangan pahit dilanda depresi dan disingkir daripada Negeri Sembilan pasti menjadi motivasi terbaik buat beliau.

Yang paling mengkagumkan ialah berjaya berada dalam pasukan Piala Dunia, satu impian setiap pemain bolasepak di dunia.

Nabbout bersama Urawa Red Diamonds di Liga J. Foto: twitter

Negeri Sembilan pula pasti terkebil-kebil melihat betapa bekas pemain yang mereka buang dahulu sudah berada di puncak. Sekurang-kurangnya di peringkat Asia. Nabbout pasti bangga dengan rekod beraksi di Liga J, antara liga terbaik Asia malah lebih baik daripada A-League dan jauh lebih baik daripada Liga Malaysia.

Siapa sangka hal ini boleh berlaku. Banyak iktibar yang diperolehi. Betapa gopohnya Negeri Sembilan membuat keputusan pada ketika itu. Masakan tidak, pasukan berkenaan hanya di liga divisyen dua Malaysia tetapi menyingkirkan pemain bertaraf Piala Dunia. Malah Nabbout ketika itu hanya berumur 24 tahun. Produktif dan masih bertenaga tetapi disingkir begitu sahaja hanya kerana prestasi pasukan yang “tidak baik”. Sesiapa sahaja yang waras pasti tertanya-tanya dan sebab itulah Nabbout sendiri menyifatkan beliau adalah mangsa permainan politik sahaja.

Jika Nabbout berada dalam pasaran semula, beliau dinilaikan dengan harga 500,000 pound oleh laman web transfermart

Semoga Nabbout terus berjaya dalam kariernya dan mungkin satu hari nanti hadir semula ke Liga Malaysia. Siapa tahu?

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close