Aku bukan pemain naturalisasi: Brendan Gan

Pemain Selangor dan kebangsaan, Brendan Gan, mengakui bahawa dia tidak suka dipanggil pemain naturalisasi.

Pemain tengah yang lahir di Sydney itu berkata dia adalah pemain berdarah Malaysia dan ayahnya berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Gan berkata demikian kepada New Straits Times selepas puak netizen yang kurang panjang akalnya memanggil Brendan sebagai pemain celup atau naturalisasi.

“Saya bukan naturalisasi sebab ayah saya.

“Saya memang layak untuk dapat kad pengenalan dan passport Malaysia kerana ayah saya ada di Seremban serta semua (anggota keluarga).

“Saya tak rasa saya sama seperti Liridon atau Sumareh, yang sudah tinggal di sini cukup lama.

“Saya dah banyak kali datang ke Malaysia semasa kecil dan saya bagi jiwa dan raga buat negara ini, di dalam dan luar padang,” kata Brendan, panjang lebar.

Ibu Brendan adalah warga Australia dan dia membesar di negara kangaru tersebut. Brendan mendapat taraf kerakyatan di Malaysia hasil usaha bersama bapa pembangunan bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa yang berusaha mendaftarkan pemain itu sebagai pemain tempatan.

Sebelum itu, Brendan Gan beraksi bersama Sabah, akan tetapi sebagai pemain import.

Brendan juga adalah antara mereka yang terawal dalam kumpulan pemain berketurunan Malaysia yang berada di luar negara yang beraksi di Malaysia. Antara pemain yang dibawa seiring bersamanya adalah Matthew Davies.

Kebenaran untuk Brendan mewakili Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang FIFA yang mengatakan bahawa mereka yang mempunyai darah keturunan bermula dari datuk atau nenek sesebuah negara boleh mewakili negara tersebut.

Ditanya mengenai Liridon Kraniqi, Brendan Gan mempunyai pandangan yang cukup padat.

“Sesetengah orang datang ke sini pada usia 32, 33 atau 34 tahun dan mereka hanya mahukan pasport, bukan untuk bermain buat negara.

“Anda patut sanggup untuk berbakti, beri jiwa dan raga di atas padang demi negara, bukan hanya untuk mendapatkan passport,” tambahnya lagi.

Kalau kita lihat aksinya di atas padang, kita boleh simpulkan bahawa Brendan Gan bukan jenis cakap kosong. Aksinya bersama Harimau Malaya ketika menentang Indonesia dan Thailand cukup untuk membuktikan dia adalah seorang yang berpegang dengan kata-katanya.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close