5 sebab kenapa Kelantan adalah pasukan yang paling istimewa dan ‘istimewa’ dalam kancah bola sepak Malaysia

Pasukan Kelantan pernah menguasai bola sepak Malaysia selama beberapa tahun, daripada 2009 sehingga 2015. Ketika fasa tersebut, pasukan di Liga Super memang tidak berani untuk berhadapan dengan The Red Warriors baik di Kota Bharu mahupun di laman sendiri.

Tetapi itu dulu. Bak kata orang Kelantan, “dulu suko dulu.”

Selepas fasa tersebut, pasukan ini dilanda masalah kewangan dan pertukaran pucuk kepimpinan persatuan, sekaligus memberi kesan kepada aksi di atas padang di mana mereka telah melakukan ‘pembersihan’ besar-besar pada tahun 2018 dengan melepaskan pemain-pemain bintang seperti Badri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat dan juga Dong.

Bagaimanapun,tidak dapat dinafikan bahawa pasukan ini adalah pasukan yang sangat istimewa dan juga ‘istimewa’.

Penyokong yang ramai di segenap pelusuk negara

Ramai rakyat Kelantan yang berhijrah mencari rezeki di luar negeri tersebut, terutamanya di Lembah Klang. Jadi setiap perlawanan pasukan TRW di mana-mana stadium, pasti ada sebahagian tempat duduk akan diisi oleh mereka, terutamanya kalau TRW menentang pasukan Selangor.

Andai TRW menentang pasukan yang tidak mempunyai penyokong pula, pastinya stadium akan dipenuhi lautan merah sahaja. Malah ada pasukan yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga tiket perlawanan apabila pasukan mereka menentang Kelantan.

Kuat Kelantan, meriahlah bola sepak Malaysia

Kerana semangat daripada para penyokong TRW, mereka boleh dikatakan sebagai pemeriah bola sepak Malaysia. Kemeriahan ini boleh diterjemah kepada dua iaitu positif dan negatif.

Secara positifnya mereka memenuhi mana-mana venue perlawanan yang melibatkan pasukan mereka, di samping mengisi posting dan komen di laman sosial. Auranya cukup terasa sampai pengulas terkenal, Zainal Abidin Rawop pernah berkata suasana bola sepak sebenar adalah di Kelantan.

Sisi negatif pula kita boleh ambil contoh tragedi pembakaran trak polis dan stadium pada tahun 2009. Tapi itu kisah lama. Kita move on.

Facebook page bertukar ganti

Salah satu punca keistimewaan pasukan ini adalah laman rasmi media sosial mereka kerap bertukar ganti seiring dengan pertukaran pemimpin. Zaman Ayah War lain, era Bibi Ramjani lain, fasa Wan Rahim pun katanya lain.

Tak pernah pula kita tengok page rasmi Real Madrid ditukar kepada yang lain selepas pertukaran presiden kelab.

Mungkin ada pasukan lain yang kerap bertukar laman rasmi ini di Malaysia, tetapi Kelantan adalah yang paling ketara kerana pertukaran pemimpin mereka juga agak kerap dalam tempoh 4-5 tahun ini.

Presiden, Setiausaha agung ada laman rasmi sendiri

Adalah normal bagi seseorang untuk mempunyai laman Facebook sendiri, tapi agak pelik kalau nama laman Facebook itu menggunakan nama jawatan dalam persatuan.

Yang diketahui Detik Sukan, setiausaha agung mempunyai akaun FB bernama Setiausaha Agung Kelantan FA dan sering berkongsi info di akaun tersebut.

Terbaru, tuan presiden juga dilihat mempunyai page menggunakan nama jawatannya, Presiden KAFA : Datuk Wan Rahim. Tapi yang ni tak pasti adakah ia akaun rasmi atau ciptaan orang lain. Kalau rasmi, timbul lah persoalan.

Kenapa tak guna laman rasmi sahaja untuk membuat kenyataan atau berkongsi aktiviti? Soalan ini juga ditujukan kepada SUA KAFA.

Sering menjadi tajuk berita

Pasukan ini sering menjadi tajuk berita sukan. Kalau cerita tersebut mengenai kejayaan pasukan, baguslah.

Tetapi selalunya pasukan ini menjadi tajuk berita kerana masalah gaji tertunggak. Cerita ini sudah banyak kali diulang siar dari zaman Ayah Wat, Bibi, dan Datuk Rahim.

Penyokong yang naik muak sudah mula menukar arah dan menyokong Kelantan United yang dilihat agak stabil dan mampu mencabar kejuaraan liga.

Jadi, cerita gaji ni sampai bila nak ulang siaran?

Bagaimanapun, KAFA di bawah pimpinan sekarang dilihat sudah menemui jalan penyelesaian untuk  menyelesaikan gaji dengan bekas pemain. Lega sikit hati para penyokong.

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close