2 pemain Liga Malaysia yang tidak pernah menukar pasukan

Kalau kita tengok pemain di liga Malaysia, ramai di antara mereka yang kerap menukar pasukan. Ada yang setiap tahun tukar pasukan, manakala ada juga yang tukar pasukan 2-3 tahun sekali.

Hal ini tidak pelik kerana kebanyakan kontrak pemain di Malaysia adalah selama setahun, dan kemudiannya diperbaharui setahun lagi apabila tiba hujung tahun.

Pada hari ini ada pasukan yang mengikat seseorang pemain sampai 5 tahun, tapi tak banyak pasukan yang berani buat begitu.

Liga tak bagi keuntungan, siapa nak ikat kontrak lama-lama kan?

Jadi, sukar untuk melihat seseorang pemain untuk kekal di pasukan yang sama tanpa pindah ke pasukan lain, atau orang sebut one club man.

Kalau di Eropah, ramai one club man yang dikenali antaranya seperti lagenda AC Milan, Paolo Maldini dan Franco Baresi, Francesco Totti (Roma), Ryan Giggs, Gary Neville dan Paul Scholes (Manchester United), dan Jamie Charrager(Liverpool).

Itu cerita di Eropah. Kalau di Malaysia, hanya dua nama yang dapat dikesan merupakan one club man iaitu lagenda Selangor, D.Surendran dan lagenda Pahang, Mudzar Mohamad.

D.Surendran

Anak jati Taman Medan, Petaling Jaya ini mula bermain bola mewakili pasukan sekolah Taman Datuk Harun. Kariernya bersama Selangor pula bermula bersama skuad Piala Presiden selangor pada tahun 1996, sebelum dinaikkan ke skuad utama 3 tahun kemudian.

Kali terakhir pemain ini menyarung jersi Selangor adalah pada 2011.

Kekuatan utama pemain ini adalah teknik sepakan yang cukup baik, ibarat kata kalau dia lakukan tendangan volley, penjaga gol pasukan lawan dah boleh bersedia untuk kutip bola dalam gol.

Antara detik terindahnya menyarung jersi Merah Kuning adalah jaringan gol emas dalam perlawanan akhir Piala FA tahun 2001, menentang Sarawak.

Mudzar Mohamad

Sekitar tahun 1990-an, nama Mudzar Mohamad cukup gah sebagai antara penjaga gol terhebat dalam arena liga Malaysia.

Mudzar mula bersama Pahang pada tahun 1986. Setahun sebelum itu, dia bermain untuk pasukan di kampungnya, Bukit Setongkol, dan memenangi kejohanan daerah.

Para scouts Pahang teruja dengan bakatnya lalu memanggil pemain ini untuk diuji, dan sejarah penjaga gol handal bermula pada detik itu.

Mudzar di sebelah Dollah Salleh

Ketika baru menyertai Pahang, Mudzar perlu bersaing dengan penjaga gol nombor satu Tok Gajah ketika itu, Khairul Azman Mohamed. Selepas Khairul Azman berhijrah ke Sabah, posisi tersebut bagai dipajak oleh Mudzar sehinggalah bersara pada tahun 2001, itupun kerana cedera teruk.

Selepas bersara, Mudzar menjadi jurulatih penjaga gol Pahang pada tahun 2003 buat seketika, sebelum kembali ke memegang jawatan tersebut pada tahun 2007 sehingga kini.

 

Facebook Comments
Kongsi cepat dengan orang lain!
error20
Close